Sunday, March 22, 2009

Selamat kembali ke sekolah


Hari ini bermulalah sesi baru persekolah setelah seminggu menghabiskan cuti penggal pertama. Samada sedar atau tidak kita telah pun berada hampir empat bulan di sekolah dan masih berbaki enam atau tujuh bulan lagi untuk kita meninggalkan sesi persekolahan tahun 2009.

Apakah dalam masa tiga bulan lebih ini kita telah pun membuat persediaan yang sepatutnya dalam menghadapi peperiksaan. Apakah kita telah merancang pembelajaran secara teratur dan berkesan. Bagaimana dengan jadual pembelajaran kita di rumah. Apakah ianya telah dapat kita ikuti mengikut apa yang dirancang. Sekiranya ya, bermakna kita telah lakukan yang terbaik sebagai seorang pelajar dan sekiranya tidak bermakna kita perlu melihat semula keberkesanan jadual pembelajaran di rumah dan memperbaiki setiap kelemahan supaya kita dapat menyesuaikan dengan tugas harian kita selain dari belajar.

Jadual yang teratur dan perancangan yang jelas akan menjadikan kita lebih komited dan berupaya menyusun perjalanan pembelajaran kita dengan baik. Rahsia kejayaan juga bermula dengan rancangan pembelajaran yang teratur mengikut kesesuaian dan kemampuan kita. Belajar perlu ada ketenangan supaya ilmu dan pengetahuan dapat menyerap ke dalam diri kita secara tersusun. Manusia yang bijak adalah manusia yang hebat dalam pengurusan jadual harian dan pembelajaran mereka. Ianya melibatkan pengaplikasian disiplin dan tatacara kita merancang pembelajaran kita.

Elakkan dari “stress” atau tekanan yang menyulitkan proses pembelajaran kita. Pembelajaran di saat akhir akan hanya menambahkan lagi tekanan dan menyebabkan otak kita tidak mampu menampung keupayaan pemprosesan maklumat dan data ke otak dengan berkesan. Keadaan ini akan mewujudkan hilangnya mod belajar dan menjejaskan target dan sasaran seseorang itu untuk berjaya dengan cemerlang.

Pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM, perlu melipatgandakan usaha bermula dari sekarang supaya kita boleh mengelak daripada “traffic jam” maklumat apabila kita belajar pada saat akhir. Walaupun kita dianugerahkan oleh Allah dengan berbilion-bilion saraf otak untuk memproses maklumat, tapi kita harus ingat bahawa saraf maklumat pada otak juga perlu berkerja seperti manusia. Penyalahgunaan fungsi saraf otak inilah yang menyebabkan seseorang itu akan mengalami tekanan belajar dan tidak berupaya bertindak menyeimbangkan kembali.

Sebagai seorang pelajar yang mempunyai cita-cita dan matlamat untuk berjaya, kita seharusnya mengelak daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan tumpuan belajar. Kita perlu mengambil pandangan dan nasihat orang-orang yang sudah berjaya dan membuktikan kecemerlangan mereka dan menjadikan mereka sebagai ikon kita.


Kita ada ramai ikon-ikon kita yang telah membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran. Nik Nur Madihah, yang mampu meraih 19 A dan 1A2 adalah bukti kepada kesungguhan dan komitmen dalam pelajaran. Walaupun berasal dari keluarga miskin tapi Nik Nur Madihah telah membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan dan yang penting adalah kesungguhan dan kemahuan. Bak kata pepatah “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.


Sebagai kata-kata terakhir cikgu berharap agar jadikan yang baik itu sebagai pilihan dalam hidup kita. Belajar adalah proses membentuk kesempurnaan hidup berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang diambil dari pelbagai sumber. Membaca adalah proses mengumpul maklumat. Jadikan amalan membaca satu gaya hidup dan rutin harian. Pilihlah bahan bacaan yang sesuai dengan tahap usia dan pemikiran kita. Jauhkan dari membaca bahan-bahan yang boleh mendorong kita ke arah perkara yang negatif.


Orang yang berjaya adalah orang berfikiran positif dan tidak mengenal putus asa. Orang yang gagal adalah orang yang cepat menyerahkan kepada takdir tanpa terlebih dahlulu berusaha.

Wallahuaalam

CIKGU ZAIDI
23 Mac 2009

Wednesday, March 18, 2009

Telefon bimbit diharamkan di sekolah


PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran mengambil keputusan melarang terus penggunaan telefon bimbit oleh pelajar-pelajar di kawasan sekolah berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan itu diambil oleh kementerian setelah perbincangan diadakan dengan guru-guru dan wakil persatuan guru pada mesyuarat jawatankuasa induk menangani gejala disiplin murid di sini semalam.
Katanya, ia selaras dengan surat Pekeliling 1 Tahun 2006 yang telah dihantar ke sekolah-sekolah yang meminta pihak sekolah melarang para pelajar membawa atau menggunakan telefon bimbit di sekolah.

“Semasa mesyuarat tadi (semalam), saya dimaklumkan pelajar yang membawa telefon bimbit gemar bermain SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan rakan-rakan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terjejas.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa penggunaan telefon bimbit memang dilarang di sekolah dan kita merayu kepada ibu bapa supaya jangan membenarkan anak-anak mereka membawa telefon bimbit ke sekolah,” katanya.

sumber : kosmo online

Thursday, March 12, 2009

Nik Nur Madihah Perolehi 20 A


Kota Bharu 12 Mac- Anak seorang nelayan, Nik Nur madihah Nik Mohd. kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi( Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperolehi 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.


Kejayaan ini menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 A1 dan 1 A2, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperolehi 21 A.


Nik Nur Madihah yang membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.


Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita hendak menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istemewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.


Ayahnya, Nik Muhammad kamal Hussin 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya Mariana Omar, 42, pula berkerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).


Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian kepada apa yang boleh ditimba di sekolah, " katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini".


Menurutnya dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara Azali Azlan yang memperolehi 21 A dalam keputusan SPM 2007 sebagai pembakar semangat.


Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.


Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Al-sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English For Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.


Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan Kedah yang memperolehi 20 1A dan 1 2A .


Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mokhtar.


Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperolehi keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekaligus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.


Ditanya pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.


" Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau di paksa," ujarnya yang memperolehi 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2 tahun lalu.


Dia bercadang yang melanjutkan pengajian di Asia Barat, memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.


Sumber : Utusan Malaysia (ms : 14) Jumaat 13 mac 2009

Wednesday, March 11, 2009

6,277 calon SPM dapat gred A

PUTRAJAYA: Sejumlah 6,277 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 5,060 calon pada 2007.


Daripada jumlah itu seramai 1,676 memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 892 pada tahun sebelumnya.


Ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata 181,416 atau 46.7 peratus calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding pada 2007 iaitu seramai 175,452 calon.


"Daripada kumpulan calon cemerlang pula, tiga pelajar berjaya memperoleh gred 1A dalam semua 16 mata pelajaran yang diambil, dua memperoleh 15 1A dan enam pelajar mendapat 14 1A," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini.

Beliau berkata dua daripada pelajar yang memperoleh 16 1A itu dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan Selangor dan seorang lagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teong Hua, Sibu, Sarawak.

Seramai 442,936 calon menduduki SPM 2008 berbanding 439,255 calon pada 2007 manakala bagi calon istimewa pula, seramai 435 calon menduduki peperiksaan itu berbanding 355 calon pada tahun sebelumnya.

Di kalangan pelajar istimewa, calon rabun penglihatan Mohd Shafiq Sahdon dari Sekolah Menengah Sains Kluang, Johor memperoleh 12 A manakala pelajar cacat pendengaran Aghilan Narayanan dari SMK Jalan Bukit, Kajang Selangor memperoleh 11 A.

Alimuddin berkata pencapaian daripada aspek mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan manakala Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menunjukkan sedikit penurunan.
Beliau berkata seramai 60,902 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berjaya mendapat sekurangkurangnya gred 6C dalam semua mata pelajaran yang diambil dan seramai 2,589 calon gagal atau mendapat gred 9G.

Bagi calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119, seramai 182,270 calon berjaya dianugerahkan Cambridge Assessment (CA) dan daripada jumlah itu 12,645 memperoleh gred 1A atau 2A dan 87,383 calon memperoleh sekurangkurangnya gred 6C.

Calon yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan pula seramai 87,355 dan seramai 30,046 berjaya mendapat sijil London Chambers of Commerce and Industry (LCCI).
Sementara itu, seramai 20,347 calon juga layak mendapat pengecualian menduduki kertas Certified Accounting Technicial One (CAT 1) daripada The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) England.

Seramai 3,098 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sekurangkuranya lulus (Magbul) dalam setiap mata pelajaran, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata bagaimanapun pencapaian kali ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lepas sebanyak 3,341.

"Daripada 10 mata pelajaran yang diambil seramai 562 memperoleh cemerlang (Mumtaz) pada tahun 2008 berbanding 729 pada tahun lepas," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM di sini hari ini.

Alimuddin berkata bagi peringkat kepujian (Jayyid Jiddan) jumlah calon yang memperoleh keputusan itu sama dengan tahun 2007 iaitu seramai 811 calon.

Beliau berkata pencapaian cemerlang (mumtaz) yang terbaik ialah bagi mata pelajaran Insya' dan Mutala'ah iaitu sebanyak 6.2 peratus dan mata pelajaran Hifzil Quran dan Tajwid iaitu 22.6 peratus.

Seramai 6,240 calon menduduki peperiksaan STAM pada tahun lepas di 92 pusat peperiksaan seluruh negara. BERNAMA


sumber :mstar

Tuesday, March 10, 2009

Kita dan masalah..Renungan untuk pelajar SMKDSML


Hidup ini adalah pencetus kepada kaedah dan jalan penyelesaian masalah. Setiap hari kita akan sentiasa didedahkan dengan pelbagai masalah dari sekecil - kecil masalah sehingga lah sebesar-besar masalah. Namun harus kita ingat bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaian, setiap sakit ada ubatnya cuma masa dan kaedah penyelesaian sahaja yang berbeza.Semakin banyak masalah yang mampu kita selesaikan, semakin matang kita untuk menempuh kehidupan. Cabaran itu akan mendidik kita menjadi lebih berani dan bersedia. Kereta pun perlu diuji untuk melihat kelajuan dan ketahanan sebelum mampu bersaing di jalanraya.
Keberanian dalam menghadapi cabaran sebenarnya akan mewujudkan satu tindakbalas semulajadi dalam minda dan emosi kita seperti seseorang yang sentiasa berkaki ayam ketika berjalan akan menjadi lebih biasa tanpa rasa takut terpijak duri, begitulah juga dengan kehidupan. Saya mengetengahkan topik ini, kerana saya merasakan bahawa kita sebenarnya tak lari dari masalah samada masalah keluarga, pelajaran, kewangan, peribadi, cinta dan sebagainya.
Sebagai seorang manusia yang rasional, yang punyai akal dan pedoman hidup perlu menyelesaikan setiap masalah dengan jalan yang terbaik dan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Islam melalui al-quran dan hadis. Jangan mengambil satu keputusan yang merugikan kita dan keluarga kita. Orang yang baik akan sentiasa lakukan yang terbaik. Orang yang berjaya akan sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah pernah putus asa. Orang yang gagal akan sentiasa mengambil jalan mudah dan sentiasa menyalahkan takdir, berfikiran negatif dan cepat putus asa. Jatuh sekali sebenarnya satu pelajaran untuk kita bangun dan berlari. Jangan mati sebelum mati. Orang yang putus asa ialah orang yang menggali kuburnya sendiri sebelum ia mati.


fikir-fikirkan lah


Daripada : Cikgu Zaidi


Keputusan SPM hari ini - Pelajar dijangka diperolehi jam 12.00 tengahari

Kg. gajah - 12 Mac, Keputusan SPM akan diumumkan pada hari ini. pelajar boleh mendapatkannya pada jam 12.00 tengahari. Maklumat terkini tentang laporan penuh keputusan akan di maklumkan kemudian. Menurut sumber keputusan SPM pada tahun ini merosot sedikit berbanding tahun lepas.

Berita selanjutnya akan menyusul

-Toklelaonline

Majlis "send off" pengetua-pelajar raikan penuh emosi











Kg. Gajah-11 mac, Majlis Perpisahan dan "send off" pengetua SMKDSML En. Nayan yang diadakan di Dewan Besar SMKDSML diraikan dengan penuh emosi oleh guru dan pelajar di sini. Rata-rata tidak dapat menahan kesedihan apabila seorang pengetua yang telah berkhidmat di sekolah ini dengan penuh dedikasi telah meninggalkan sekolah ini setelah bertukar ke SMK Dato' Abd Rahman Yaakob Bota. Majlis yang turut dihadir oleh Yang Dipertua PIBG Tn. Hj. Abdul Manan Bin Salleh ini disaksikan oleh semua pelajar SMKDSML dan guru-guru. Dalam ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Tn. Hj. Manan beliau dengan rendah hati menyifatkan tuan pengetua seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi dan telah menunjukkan kecemerlangan semasa mentadbir di sekolah ini. Kesungguhan dalam pentadbiran yang ditonjolkan menjadikan SMKDSML cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Tn. Hj. manan juga dalam ucapannya turut memberi beberapa pengetua tentang kejayaan terhadap pelajar.


Manakala Tn. Pengetua yang diberi ruang untuk ucapan terakhirnya di sekolah ini mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru kerana telah berkerjasama dengannya dan menasihatkan pelajar supaya sentiasa bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Menurutnya lagi kejayaan yang diperolehi adalah kerana kesabaran dan kesungguhan kita sendiri.




Seluruh warga SMKDSML sekali lagi mengucapkan selamat berpisah dan semoga tuan pengetua meneruskan kecemerlangan di tempat yang baru bertugas nanti.








toklelaonline








11 mac 2009

Cenderahati yang tak seberapa dari setiap wakil











Jasa mu akan dikenang sepanjang hayat- terima kasih kerana menjaga dan mengajar kami











Lambaian terakhir dari pengetua SMKDSML











Friday, March 6, 2009

sekitar gambar majlis "send off" Pengetua En. Nayan B. Mahmood






















Tuesday, March 3, 2009

Majlis doa selamat kenaikan pangkat dan perpisahan pengetua


6 Mac,- Majllis doa selamat sempena kenaikan pangkat pengetua SMK Dato Seri Maharaja Lela, En. nayan Bin Mahmud dan ucapan perpisahan telah di adakan di kantin sekolah SMKDSML. majlis yang dihadiri oleh semua guru dan kakitangan ini adalah bagi mengucapkan selamat berpisah dan selamat bertugas di tempat baru iaitu di SMK Dato' Abd Rahman Yaakob. Antara tetamu terhormat yang kelihatan di majlis tersebut ialah Tn. Hj. Abd Manan bin Salleh YDP PIBG SMKDSML, En. Ismail Bin Shuahada ( PK. Pentadbiran), En. kamarulzaman ( PK> HEM) dan En. Megat Amin ( PK. Kokurikulum).


Dalam ucapan yang disampaikan pengetua sebelum memulakan jamuan makan tengahari, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru-guru yang sentiasa membantu dan berkerjasama dalam semua keadaan sehingga menjadikan sekolah ini dikenali di peringkat yang lebih tinggi. Beliau juga merasa bangga berada di sekolah ini yang disifatkan sebagai sekolah yang banyak memberi pengalaman yang manis dan menempa banyak kejayaan selama berada di sini. semuanya menururtnya lagi adalah hasil dari kerja sama dan kesabaran guru-guru dan kakitangan dalam mewujudkan satu persekitaran yang positif dalam semua keadaan. Dalam ucapan akhirnya beliau menyeru agar kecemerlangan diteruskan dari masa ke semasa agar dapat memberikan pengajaran dan mewujudkan pembelajaran yang terbaik kepada pelajar yang rata-ratanya terdiri daripada anak bangsa sendiri.
toklelaonline

Kadet Polis Wanita rebut takhta teratas


5 Mac- Kadet Polis Wanita SMKDSML telah merangkul johan bagi kategori pasukan beruniform dengan penampilan dan disiplin kawad yang berjaya memukau juri yang menghakimi kategori tersebut. Kadet Polis Wanita yang diterajui oleh Pn. Yong Suzi yang sebelum ini telah merangkul banyak anugerah diperingkat sekolah dan negeri telah menunjukkan kehebatan dan kerjasama berpasukan dan merupakan satu-satunya pasukan beruniform yang berjaya melepasi panel mata bonus juri. Tempat kedua pula dibolot oleh Pasukan Puteri Islam dengan menampilkan keseragaman berbaju "pink". Pasukan pengakap pula buat julung kali berjaya merangkul tempat ketiga setelah panel juri berpuas hati dengan persembahan kawad mereka.

Walaupun pasukan beruniform yang lain gagal mendapat tempat dalam kedudukan tiga terbaik namun mereka ini telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan berjaya memukau penonton ketika sesi lintas langsung dan tabik hormat diadakan.


toklela online

Kejohanan sukan sekolah-Pelajar bukitikan kemampuan


5- Mac, - Kejohanan Sukan Sekolah Bagi tahun 2009 yang berlangsung di padang SMKDSML berjaya memukau penonton dengan aksi-aksi hebat dari semua atlit yang mengambil bahagian. Penyertaan yang melibatkan ramai atlit ini telah berjaya menyungkil bakat-bakat baru yang bakal diketengahkan diperingkat negeri dan kebangsaan. Atlit yang merangkul olahragawan dan olahragawati Mohd Iskandar B. Idris dan Nurul Binti Khalul Rashid sudah pasti akan disrisik oleh guru-guru sukan untuk diketengahkan diperingkat yang lebih jauh. Beberapa atlit lain yang menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam kejohanan ini akan memperolehi peluang yang lebih cerah pada masa depan sekiranya tersenarai dalam kelompok yang bakal digilap.
Acara kejohanan sukan tahunan ini dimeriahkan dengan kehadiran Pengetua SMK Dato Seri Maharaja Lela En. nayan bin Mahmud dan Penolong Kanan Pentadbiran En. Ismail Shuhada, ia juga turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat dari PIBG, dan pentadbir sekolah Perak tengah. Antara yang kelihatan mewakili PIBG ialah YDP PIBG Tn. Hj. Manan bin Salleh dan En. Mohd Zain, manakala tetamu dari pentadbiran sekolah kawasan Perak Tengah ialah Puan Mashitah ( Pen. Kanan Pentadbiran SMK Dato' Abd rahman Yaakob Bota, En. Omar pengetua Sek Men Agama Raja Dr. Nazrin Shah Kg. Gajah. Tidak ketinggalan ibu bapa yang hadir yang turut sama memberikan sokongan kepada anak-anak mereka.
Menurut Penolong kanan Kokurikulum, Megat Mohd Amin, Kejohanan kali ini telah menunjukkan satu peningkatan yang membanggakan dan banyak atlit-atlit yang boleh diketengahkan. Kejohanan sukan ini yang jayakan oleh kerjasama semua guru dan kakitangan telah mencerminkan semangat kerjasama yang sebenar kerana ia dapat dilangsungkan dengan jayanya.
Perasmian pembukaan disempurnakan oleh Tn. Hj. Manan Bin Salleh YDP PIBG SMKDSML manakala untuk perasmian penutup disempurnakan oleh En. Mohd Zain. Ketika dalam ucapan penutup En. Mohd Zain sempat memberikan kata-kata semangat dan menyarankan agar pelajar sentiasa mengamalkan semangat bersukan serta menjauhkan dari anasir-anasir yang tidak baik serta penyalahgunaan dadah.
Toklelaonline

Mohd Iskandar dan Nurul Olahragawan dan Olahragawati Sekolah bagi Tahun 2009


5 Mac, - Mohd Iskandar Bin Idris dari rumah Temenggung telah dinobatkan sebagai Olahragawan SMKDSML bagi tahun 2009. Pemilihan beliau adalah berdasarkan pencapaian yang cemerlang dalam kejohanan sukan sekolah yang berlangsung petang tadi. Iskandar yang memenangi dua emas serta berjaya memecahkan rekod baru kejohanan telah mengetepikan pencabar lain yang sama-sama beraksi.

Manakala bagi Olahragawati SMKDSML 2009 pula dianugerahkan kepada Nurul Bt. Khalul Rashid dari rumah Laksamana. Penyampaian hadiah bagi kedua-dua Olahragawan dan Olahragawati ini disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKDSML En. nayan Bin Mahmud.


Toklelaonline

JUMLAH PUNGUTAN PINGAT BAGI SEMUA RUMAH SUKAN




Rumah Bendahara Ungguli Kejohanan Sukan Tahunan SMKDSML


5 Mac,- Rumah Bendahara telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Tahunan SMK Dato' Seri Maharaja Lela Kg. Gajah. Rumah Bendahara berjaya mengetepikan rumah Temenggong, Laksamana dan Panglima dengan kutipan emas sebanyak 25 diikuti dengan Perak dengan 21 dan gangsa 19. Jumlah pingat keseluruhan yang dikutip ialah 65. Manakala Laksamana hanya mampu di tangga yang ke dua dengan kutipan pingat sebanyak 57 pingat iaitu emas 23, perak 20 dan gangsa 14.


Rumah Temenggung yang disebut-sebut bakal menjuarai juara hanya mampu meraih tempat ke tiga dengan pungutan emas 20, perak 21 dan gangsa 21 menjadikan jumlah keseluruhan pingat yang dikuti oleh rumah Temenggung ialah 62. Rumah Panglima terpaksa akur dengan tangga tercorot apabila atlit-atlitnya terlepas pingat. Rumah Panglima hanya mampu mengutip 10 emas, 14 Perak dan 21 gangsa. Jumlah keseluruhan emas yang dipungut ialah 45. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Tuan Pengetua SMKDSML En. Nayan bin Mahmud.


Toklelaonline



-prakejohanan sukan sekolah 2009-Acara saringan sengit







4 Mac- Acara saringan bagi pra- kejohanan sukan sekolah SMK. Dato' Seri Maharaja Lela sengit. Pertandingan yang melibatkan 4 rumah sukan ini telah di adakan di sebelah petang bermula jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 5.0o petang. Turut hadir dalam acara saringan ini ialah En. Megat Amin yang merupakan Penolong Kanan Kokurikulum.



Kejohanan kemuncak akan diadakan pada 5 Mac ( Khamis) di Padang SMK Dato Seri Maharaja Lela Kg. Gajah.






Toklela online



Sekolah akan kehilangan pengetua berdedikasi


5 Mac-Warga SMKDSML akan kehilangan seorang pengetua yang berdedikasi dan berktrampilan setelah perpindahan En. Nayan Bin Mahmud dari SMK Dato Seri Maharaja Lela Kg. gajah ke SMK Dato' Abdul Rahman Yaakob Bota . Belum dipastikan siapakah yang bakal menggantikan beliau bagi menjawat kerusi no 1 ini. Sumbangan beliau selama 6 tahun di SMK Dato ini. Maharaja Lela telah menaikan prestasi sekolah sehingga disegani khususnya dalam bidang akademik dan kokurikulum sehingga ke peringkat negeri. Majlis "send off'" dijangka akan diadakan pada hari rabu 11 Mac 2009 bertempat di Dewan Besar SMKDSML. Majlis ini yang merupakan satu penghormatan terakhir sebagai pengetua di sekolah ini akan disertai oleh pelajar SMKDSML. Toklela online dan guru-guru serta pelajar mengucapkan selamat berpisah dan semoga maju jaya. Toklela online