Monday, May 4, 2009

Hidup dan kehidupan- Cabaran dan ujian


Hidup adalah rantaian. Hidup adalah pembelajaran. Keputusan untung rugi hidup bergantung kepada proses pembelajaran tentang hidup.


Manusia dianugerahkan tuhan untuk menjalani kehidupan. Disertakan sekali segala keperluan untuk manusia jalani hidup. Pokok-pokok, buah-buahan, tanaman , haiwan ternakan dan segala isi bumi adalah keperluan untuk manusia bagi menjalani proses hidup. Manusia pula dianugerahkan akal untuk menyeimbangkan jalan hidup. yang baik akan sempurna hidup. Yang jahat akan sengsara hidup. perasaan dan nafsu adalah pelengkap kepada bentuk soalan dan ujian dalam hidup. Ada yang tewas kerana memilih jalan hidup yang salah. Ada yang berduka kerana menjadi hamba nafsu ketika hidup.


Ada yang berdayung di muara hidup berbekalkan cekal dan nekad. Ada yang menongkah hidup dengan jalan singkat tanpa melalui proses yang payah. Ada yang diuji tuhan kerana telah merasai kesempurnaan ketika hidup dan ada yang dianugerahkan tuhan satu nikmat yang berpanjangan walaupun pada hakikatnya di sisi masyarakat terlalu daif. Nikmat tuhan rupanya terlalu besar dan luas.


Hidup dan proses hidup adalah rantaian ujian untuk manusia. Allah adalah pemeriksa kepada ujian. markah yang diberikan adalah tepat dan tidak tersasar sedikit pun. Allah juga cetuskan dalam diri manusia dan haiwan punyai perasaan untuk sayang dan disayangi. kasih mengasihani. Manusia dianugerahkan keupayaan akal berfikir melebihi haiwan. Manusia mampu menggunakan akal untuk menghasilkan satu yang baru berdasarkan panduan dan ilham dari allah. haiwan hanya menggunakan akal untuk mentadbir dan mengurus hidup haiwan itu sendiri. Seekor kambing tidak akan terbang seperti burung kerana melalui proses akalnya kambing menggunakan akal untuk faham bahawa dia tidak boleh terbang. Seekor burung akan sentiasa terbang kerana melalui proses akalnya bahawa dia sememangnya boleh terbang.
Manusia pula walaupun tidak boleh terbang tetapi masih mampu untuk berfikir lebih jauh bagaimana untuk boleh terbang lebih tinggi daripada burung. maka terciptalah kapal terbang. Itulah hebatnya akal manusia berbanding haiwan.


Akal, Perasaan dan nafsu tidak dapat dipisahkan. Manusia memerlukan semua ini untuk melangsungkan perjalanan hidup. Baik dan buruk hidup bergantung kepada sejauhmana manusia mengendalikan ketiga-tiga elemen ini.


Wallahuaalam


Zaidi


5 May 2009

Sunday, May 3, 2009

Punch card- Pembaharuan yang berkesan


Tahniah kepada pihak pengurusan kerana telah melaksanakan sistem perakam waktu ( Punch Card). Walaupun sistem ini telah lama diperkenalkan oleh sektor awam dan swasta namun di sini ianya masih baru kerana keperluan sebelum ini tidak memerlukan perakam waktu.


Walaubagaimana pun perubahan dan pembaharuan dalam pengurusan khususnya bagi memantau dan mengurus selia kakitangan secara lebih efisyen dan sistematik maka adalah perlu ianya dilaksanakan dan setelah sebulan perlaksanaan perakam waktu ini, telah jelas adanya satu perkembangan yang positif.


Kakitangan yang sebelum ini hanya menulis kedatangan pada buku kehadiran sudah boleh menarik nafas lega kerana perakam waktu akan mampu mencatat kehadiran secara tepat dan sekaligus akan memudahkan mereka merancang waktu dengan baik bermula dari rumah lagi.


Perlaksanaan waktu merah mungkin akan dilakukan secara berperingkat bertujuan untuk menyesuaikan kakitangan dengan sistem ini dan jadual masa mereka sebelum ini yang terdedah dengan menulis di buku kehadiran.


Hasil bedah siasat kali pertama nampaknya telah ada perkembangan yang positif khususnya dalam kehadiran walaupun masih ada beberapa orang lagi yang berada di tahap waktu merah dan pihak pengurusan sekolah percaya ianya akan dapat diatasi melalui kesedaran dan tanggungjawab


wallahuaalam


-zaidi

Sunday, April 12, 2009

Masa Oh Masa- Sempena hari pertama penggunaan Punch Card


Tidak dapat tidak perancangan yang ala kadar dan sikap menangguhkan setiap kerja atau urusan akan mengundang kepada kemerosotan sistem kerja. Sikap begini menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang ditetapkan dan akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap mutu kerja.


Pengurusan masa yang tidak betul menjadi faktor pendorong kepada hilangnya mutu kerja. Betul lah apa yang orang dulu-dulu kata Masa itu Emas dan Al-quran juga menyebut bahawa "Demi Masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian". Pengurusan masa yang betul melibatkan hubungkait kepada beberapa rangkaian yang terlibat dalam mengendalikan kerja yang sama. Masa itu adalah lambang kerjasma. Masa itu adalah lambang ketepatan. Masa itu juga adalah lambang kejayaan. Setiap detik adalah bernilai. Setiap saat adalah entiti kejayaan. Ketepatan mengira masa akan mampu menstabilkan pengurusan hidup.


Berapa ramai yang dapat menepati masa. Waktu kerja pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang adalah ukuran kepada ketepatan waktu berkerja. punch card adalah pengawal ketepatan untuk rujukan majikan tapi disiplin diri adalah pengawal ketepatan masa untuk individu. Orang Jepun dan Korea cukup bijak menguruskan masa. Tak Mustahil mereka ini mampu melakukan kerja dengan baik dan bersistematik. Orang Melayu selalu ditinggalkan oleh masa. Mungkin orang Melayu telah membudayakannya sehingga apabila waktu mesyuarat pukul 9.00 maka akan ada yang hadir pukul 9.10 minit. Apabila ditanya kenapa ianya melebihi jam 9.00, jawapannya cukup mudah.."Biasa lah..Jam Melayu". Budaya Jam Melayu inilah menyebabkan kualiti kerja orang Melayu agak merosot berbanding dengan bangsa lain ( Bukan semuanya).
Oleh itu, Masa adalah segala-galanya. Masa lah yang akan menjadi penentu jatuh bangun seseorang. Masa lah yang meruntuhkan kepercayaan seseorang dan masa juga akan melenyapkan manusia di muka bumi ini.


Terima Kasih


- Cikgu Zaidi


13 April 2009

Sunday, March 22, 2009

Selamat kembali ke sekolah


Hari ini bermulalah sesi baru persekolah setelah seminggu menghabiskan cuti penggal pertama. Samada sedar atau tidak kita telah pun berada hampir empat bulan di sekolah dan masih berbaki enam atau tujuh bulan lagi untuk kita meninggalkan sesi persekolahan tahun 2009.

Apakah dalam masa tiga bulan lebih ini kita telah pun membuat persediaan yang sepatutnya dalam menghadapi peperiksaan. Apakah kita telah merancang pembelajaran secara teratur dan berkesan. Bagaimana dengan jadual pembelajaran kita di rumah. Apakah ianya telah dapat kita ikuti mengikut apa yang dirancang. Sekiranya ya, bermakna kita telah lakukan yang terbaik sebagai seorang pelajar dan sekiranya tidak bermakna kita perlu melihat semula keberkesanan jadual pembelajaran di rumah dan memperbaiki setiap kelemahan supaya kita dapat menyesuaikan dengan tugas harian kita selain dari belajar.

Jadual yang teratur dan perancangan yang jelas akan menjadikan kita lebih komited dan berupaya menyusun perjalanan pembelajaran kita dengan baik. Rahsia kejayaan juga bermula dengan rancangan pembelajaran yang teratur mengikut kesesuaian dan kemampuan kita. Belajar perlu ada ketenangan supaya ilmu dan pengetahuan dapat menyerap ke dalam diri kita secara tersusun. Manusia yang bijak adalah manusia yang hebat dalam pengurusan jadual harian dan pembelajaran mereka. Ianya melibatkan pengaplikasian disiplin dan tatacara kita merancang pembelajaran kita.

Elakkan dari “stress” atau tekanan yang menyulitkan proses pembelajaran kita. Pembelajaran di saat akhir akan hanya menambahkan lagi tekanan dan menyebabkan otak kita tidak mampu menampung keupayaan pemprosesan maklumat dan data ke otak dengan berkesan. Keadaan ini akan mewujudkan hilangnya mod belajar dan menjejaskan target dan sasaran seseorang itu untuk berjaya dengan cemerlang.

Pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM, perlu melipatgandakan usaha bermula dari sekarang supaya kita boleh mengelak daripada “traffic jam” maklumat apabila kita belajar pada saat akhir. Walaupun kita dianugerahkan oleh Allah dengan berbilion-bilion saraf otak untuk memproses maklumat, tapi kita harus ingat bahawa saraf maklumat pada otak juga perlu berkerja seperti manusia. Penyalahgunaan fungsi saraf otak inilah yang menyebabkan seseorang itu akan mengalami tekanan belajar dan tidak berupaya bertindak menyeimbangkan kembali.

Sebagai seorang pelajar yang mempunyai cita-cita dan matlamat untuk berjaya, kita seharusnya mengelak daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan tumpuan belajar. Kita perlu mengambil pandangan dan nasihat orang-orang yang sudah berjaya dan membuktikan kecemerlangan mereka dan menjadikan mereka sebagai ikon kita.


Kita ada ramai ikon-ikon kita yang telah membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran. Nik Nur Madihah, yang mampu meraih 19 A dan 1A2 adalah bukti kepada kesungguhan dan komitmen dalam pelajaran. Walaupun berasal dari keluarga miskin tapi Nik Nur Madihah telah membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan dan yang penting adalah kesungguhan dan kemahuan. Bak kata pepatah “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.


Sebagai kata-kata terakhir cikgu berharap agar jadikan yang baik itu sebagai pilihan dalam hidup kita. Belajar adalah proses membentuk kesempurnaan hidup berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang diambil dari pelbagai sumber. Membaca adalah proses mengumpul maklumat. Jadikan amalan membaca satu gaya hidup dan rutin harian. Pilihlah bahan bacaan yang sesuai dengan tahap usia dan pemikiran kita. Jauhkan dari membaca bahan-bahan yang boleh mendorong kita ke arah perkara yang negatif.


Orang yang berjaya adalah orang berfikiran positif dan tidak mengenal putus asa. Orang yang gagal adalah orang yang cepat menyerahkan kepada takdir tanpa terlebih dahlulu berusaha.

Wallahuaalam

CIKGU ZAIDI
23 Mac 2009

Wednesday, March 18, 2009

Telefon bimbit diharamkan di sekolah


PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran mengambil keputusan melarang terus penggunaan telefon bimbit oleh pelajar-pelajar di kawasan sekolah berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan itu diambil oleh kementerian setelah perbincangan diadakan dengan guru-guru dan wakil persatuan guru pada mesyuarat jawatankuasa induk menangani gejala disiplin murid di sini semalam.
Katanya, ia selaras dengan surat Pekeliling 1 Tahun 2006 yang telah dihantar ke sekolah-sekolah yang meminta pihak sekolah melarang para pelajar membawa atau menggunakan telefon bimbit di sekolah.

“Semasa mesyuarat tadi (semalam), saya dimaklumkan pelajar yang membawa telefon bimbit gemar bermain SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan rakan-rakan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terjejas.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa penggunaan telefon bimbit memang dilarang di sekolah dan kita merayu kepada ibu bapa supaya jangan membenarkan anak-anak mereka membawa telefon bimbit ke sekolah,” katanya.

sumber : kosmo online

Thursday, March 12, 2009

Nik Nur Madihah Perolehi 20 A


Kota Bharu 12 Mac- Anak seorang nelayan, Nik Nur madihah Nik Mohd. kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi( Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperolehi 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.


Kejayaan ini menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 A1 dan 1 A2, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperolehi 21 A.


Nik Nur Madihah yang membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.


Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita hendak menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istemewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.


Ayahnya, Nik Muhammad kamal Hussin 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya Mariana Omar, 42, pula berkerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).


Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian kepada apa yang boleh ditimba di sekolah, " katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini".


Menurutnya dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara Azali Azlan yang memperolehi 21 A dalam keputusan SPM 2007 sebagai pembakar semangat.


Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.


Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Al-sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English For Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.


Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan Kedah yang memperolehi 20 1A dan 1 2A .


Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mokhtar.


Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperolehi keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekaligus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.


Ditanya pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.


" Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau di paksa," ujarnya yang memperolehi 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2 tahun lalu.


Dia bercadang yang melanjutkan pengajian di Asia Barat, memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.


Sumber : Utusan Malaysia (ms : 14) Jumaat 13 mac 2009

Wednesday, March 11, 2009

6,277 calon SPM dapat gred A

PUTRAJAYA: Sejumlah 6,277 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 5,060 calon pada 2007.


Daripada jumlah itu seramai 1,676 memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 892 pada tahun sebelumnya.


Ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata 181,416 atau 46.7 peratus calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding pada 2007 iaitu seramai 175,452 calon.


"Daripada kumpulan calon cemerlang pula, tiga pelajar berjaya memperoleh gred 1A dalam semua 16 mata pelajaran yang diambil, dua memperoleh 15 1A dan enam pelajar mendapat 14 1A," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini.

Beliau berkata dua daripada pelajar yang memperoleh 16 1A itu dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan Selangor dan seorang lagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teong Hua, Sibu, Sarawak.

Seramai 442,936 calon menduduki SPM 2008 berbanding 439,255 calon pada 2007 manakala bagi calon istimewa pula, seramai 435 calon menduduki peperiksaan itu berbanding 355 calon pada tahun sebelumnya.

Di kalangan pelajar istimewa, calon rabun penglihatan Mohd Shafiq Sahdon dari Sekolah Menengah Sains Kluang, Johor memperoleh 12 A manakala pelajar cacat pendengaran Aghilan Narayanan dari SMK Jalan Bukit, Kajang Selangor memperoleh 11 A.

Alimuddin berkata pencapaian daripada aspek mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan manakala Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menunjukkan sedikit penurunan.
Beliau berkata seramai 60,902 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berjaya mendapat sekurangkurangnya gred 6C dalam semua mata pelajaran yang diambil dan seramai 2,589 calon gagal atau mendapat gred 9G.

Bagi calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119, seramai 182,270 calon berjaya dianugerahkan Cambridge Assessment (CA) dan daripada jumlah itu 12,645 memperoleh gred 1A atau 2A dan 87,383 calon memperoleh sekurangkurangnya gred 6C.

Calon yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan pula seramai 87,355 dan seramai 30,046 berjaya mendapat sijil London Chambers of Commerce and Industry (LCCI).
Sementara itu, seramai 20,347 calon juga layak mendapat pengecualian menduduki kertas Certified Accounting Technicial One (CAT 1) daripada The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) England.

Seramai 3,098 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sekurangkuranya lulus (Magbul) dalam setiap mata pelajaran, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata bagaimanapun pencapaian kali ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lepas sebanyak 3,341.

"Daripada 10 mata pelajaran yang diambil seramai 562 memperoleh cemerlang (Mumtaz) pada tahun 2008 berbanding 729 pada tahun lepas," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM di sini hari ini.

Alimuddin berkata bagi peringkat kepujian (Jayyid Jiddan) jumlah calon yang memperoleh keputusan itu sama dengan tahun 2007 iaitu seramai 811 calon.

Beliau berkata pencapaian cemerlang (mumtaz) yang terbaik ialah bagi mata pelajaran Insya' dan Mutala'ah iaitu sebanyak 6.2 peratus dan mata pelajaran Hifzil Quran dan Tajwid iaitu 22.6 peratus.

Seramai 6,240 calon menduduki peperiksaan STAM pada tahun lepas di 92 pusat peperiksaan seluruh negara. BERNAMA


sumber :mstar