Sunday, March 22, 2009

Selamat kembali ke sekolah


Hari ini bermulalah sesi baru persekolah setelah seminggu menghabiskan cuti penggal pertama. Samada sedar atau tidak kita telah pun berada hampir empat bulan di sekolah dan masih berbaki enam atau tujuh bulan lagi untuk kita meninggalkan sesi persekolahan tahun 2009.

Apakah dalam masa tiga bulan lebih ini kita telah pun membuat persediaan yang sepatutnya dalam menghadapi peperiksaan. Apakah kita telah merancang pembelajaran secara teratur dan berkesan. Bagaimana dengan jadual pembelajaran kita di rumah. Apakah ianya telah dapat kita ikuti mengikut apa yang dirancang. Sekiranya ya, bermakna kita telah lakukan yang terbaik sebagai seorang pelajar dan sekiranya tidak bermakna kita perlu melihat semula keberkesanan jadual pembelajaran di rumah dan memperbaiki setiap kelemahan supaya kita dapat menyesuaikan dengan tugas harian kita selain dari belajar.

Jadual yang teratur dan perancangan yang jelas akan menjadikan kita lebih komited dan berupaya menyusun perjalanan pembelajaran kita dengan baik. Rahsia kejayaan juga bermula dengan rancangan pembelajaran yang teratur mengikut kesesuaian dan kemampuan kita. Belajar perlu ada ketenangan supaya ilmu dan pengetahuan dapat menyerap ke dalam diri kita secara tersusun. Manusia yang bijak adalah manusia yang hebat dalam pengurusan jadual harian dan pembelajaran mereka. Ianya melibatkan pengaplikasian disiplin dan tatacara kita merancang pembelajaran kita.

Elakkan dari “stress” atau tekanan yang menyulitkan proses pembelajaran kita. Pembelajaran di saat akhir akan hanya menambahkan lagi tekanan dan menyebabkan otak kita tidak mampu menampung keupayaan pemprosesan maklumat dan data ke otak dengan berkesan. Keadaan ini akan mewujudkan hilangnya mod belajar dan menjejaskan target dan sasaran seseorang itu untuk berjaya dengan cemerlang.

Pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM, perlu melipatgandakan usaha bermula dari sekarang supaya kita boleh mengelak daripada “traffic jam” maklumat apabila kita belajar pada saat akhir. Walaupun kita dianugerahkan oleh Allah dengan berbilion-bilion saraf otak untuk memproses maklumat, tapi kita harus ingat bahawa saraf maklumat pada otak juga perlu berkerja seperti manusia. Penyalahgunaan fungsi saraf otak inilah yang menyebabkan seseorang itu akan mengalami tekanan belajar dan tidak berupaya bertindak menyeimbangkan kembali.

Sebagai seorang pelajar yang mempunyai cita-cita dan matlamat untuk berjaya, kita seharusnya mengelak daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan tumpuan belajar. Kita perlu mengambil pandangan dan nasihat orang-orang yang sudah berjaya dan membuktikan kecemerlangan mereka dan menjadikan mereka sebagai ikon kita.


Kita ada ramai ikon-ikon kita yang telah membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran. Nik Nur Madihah, yang mampu meraih 19 A dan 1A2 adalah bukti kepada kesungguhan dan komitmen dalam pelajaran. Walaupun berasal dari keluarga miskin tapi Nik Nur Madihah telah membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan dan yang penting adalah kesungguhan dan kemahuan. Bak kata pepatah “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.


Sebagai kata-kata terakhir cikgu berharap agar jadikan yang baik itu sebagai pilihan dalam hidup kita. Belajar adalah proses membentuk kesempurnaan hidup berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang diambil dari pelbagai sumber. Membaca adalah proses mengumpul maklumat. Jadikan amalan membaca satu gaya hidup dan rutin harian. Pilihlah bahan bacaan yang sesuai dengan tahap usia dan pemikiran kita. Jauhkan dari membaca bahan-bahan yang boleh mendorong kita ke arah perkara yang negatif.


Orang yang berjaya adalah orang berfikiran positif dan tidak mengenal putus asa. Orang yang gagal adalah orang yang cepat menyerahkan kepada takdir tanpa terlebih dahlulu berusaha.

Wallahuaalam

CIKGU ZAIDI
23 Mac 2009

0 comments:

Post a Comment